Keluarga kesayanganku

Keluarga kesayanganku
Myspace Falling Objects @ JellyMuffin.com Myspace Layouts

ILMU

0 comments
Ilmu...
Mengapa begitu degil,
Mengapa begitu sukar…
Engkau dilahirkan bodoh,
Atau engkau memilih menjadi bodoh…
Terlalu lama mencari,
Sebenarnya baru sesaat kau berusaha,
Ilmu tidak datang begitu sahaja…
Peluang diberi engkau lari,
Ilmu mencari kau bersembunyi,
Bila otak tidak berfungsi,
Engkau salahkan Ilahi…
Ilmu….
Engkau umpama cahaya,
Mengapa masih ramai yang tidak melihat,
Betapa terangnya engkau,
Adakah mereka buta…
Semua mahukan manfaat darimu,
Tapi berapa ramai yang pergi kepadamu,
Ibarat sebiji durian,
Buahnya mahu durinya tidak….

Dilema Guru Ke Pedalaman

0 comments

Masyarakat lebih tertumpu kepada komputer

1 comments


Ledakan IT meletus dimana-mana sepanjang masa. Tanpa mengira tempat dan waktu, evolusinya seakan-akan tidak terhenti. Mula-mula dari segi telekomunikasi, peralatan audio dan video, komputer dan sebagainya, semuanya mengalami evolusi yang begitu pantas.

Namun, IT bagi pandangan masyarakat lebih tertumpu kepada komputer jika dibandingkan dengan peranti-peranti lain seperti yang dinyatakan diatas. Ketika komputer mula-mula popular seawal dekat 80-an, penggunaanya lebih menjurus kepada permainan kanak-kanak serta kerja-kerja penaipan data di pejabat, tidak lebih daripada itu.

Di masa itu siapa yang tidak kenal dengan komputer Atari, Amstrad, CAT dan sebagainya yang menjadi kegilaan kanak-kanak memaksa ibu bapanya membeli komputer tersebut semata-mata untuk bermain PACMAN. Namun, semenjak perkakasan IT yang lain dimajukan terutamanya dalam bidang komunikasi data, komputer tidak hanya difokuskan kepada kegunaan penaipan dipejabat ataupun rekreasi sahaja tetapi dihargai lebih dari itu.

Pengkomersilan Internet

Pengkomersilan Internet, penghasilan rangkaian komunikasi data yang lebih pantas dan selamat, pengenalan LAN (Local Area Network), WAN (Wide Area Network), pemajuan teknologi penyimpanan data dari analog kedigital menyebabkan teknologi IT jauh kehadapan.



Begitu juga dengan perkakasan komputer yang semakin berteknologi tinggi serta boleh didapati dengan harga yang berpatutan. Kepesatan IT ini telah mempengaruhi iklim ataupun atmosfera kemodenan sedunia.

Semuanya tidak mahu ketinggalan. Semua sektor ingin mengetahui, mempelajari serta mengkaji apa yang boleh disumbangkan serta penyumbangan yang boleh dilakukan oleh dunia IT sendiri. Dari sektor perubatan, ekonomi, perkapalan, astronomi, hartanah, pendidikan dan sebagainya,semuanya ketika ini berlandaskan IT. Pendidikan amnya mengalami perubahan yang sangat ketara.

Bermula dengan penggunaan papan hitam tradisional disekolah, kemudian beralih kepapan putih, kemudian kealat bantuan mengajar seperti OHP dan seterusnya yang terkini pembelajaran secara on-line ataupun dalam bahasa ITnya dewasa kini e-learning. E-learning yang seakan-akan mitos 10 tahun dulu kini menjadi keperluan semenjak web mendominasi Internet.

Di Malaysia, e-learning masih lagi 'baru' kehadirannya jika dibandingkan dengan negara-negara Barat khasnya di US dimana setengah sekolah telah menjadikan ianya sebagai satu kaedah asas pembelajaran bagi menggantikan teknik-teknik pembelajaran tradisional.

E-Learning

E-learning di negara kita lebih terarah kepada pembelajaran secara jarak jauh dan on-line yang kebanyakannya hanya ditawarkan diperingkat Universiti serta kolej-kolej swasta yang menjalankan usahasama Universiti-universiti luar negara. Antara pusat pengajian tinggi tempatan yang menawarkan pembelajaran secara maya ini ialah Universiti Putra Malaysia melalui Program IDEAL ( Institut Pendidikan & Pembelajaran Jarak Jauh). Menerusi usahasama dengan syarikat tempatan Mahirnet Sdn. Bhd., UPM julung-julung kalinya menawarkan program Bacelor Komunikasi secara maya.

Walaupun yurannya kelihatan agak tinggi berbanding dengan program ijazah saluran biasa namun jika dibandingkan dengan corak pembelajarannya, ia dianggap berbaloi, dengan jadual kuliah yang fleksibel, nota dan tutorial yang boleh didapati dari Internet serta perkuliahan secara on-line. Dengan tidak disedari, ianya dapat menjimatkan kos dan masa terutamanya bagi mereka yang berkerja sepenuh masa serta tempat tinggal yang jauh daripada universiti. Dalam ertikata yang lain, melalui pembelajaran secara maya ini, tiada lagi jurang masa dan jarak yang menjadi halangan untuk belajar.

Di Amerika Syarikat pula, terdapat beribu-ribu laman web pendidikan yang mengatakan bahawa mereka menyediakan program e-learning. Namun menurut Linda C. Joseph, penyelidik dari Columbus (Ohio) Public Schools, Konsep e-learning tidak hanya sekadar penghantaran nota-nota kuliah kepada pelajar ataupun penghantaran tugasan kepada pensyarah melalui e-mail semata-mata tetapi yang sebenarnya pengisian web tersebut mestilah dipenuhi dengan forum/perbincangan dua pihak secara komunikasi dua hala, pengorganisasian maklumat dengan lebih teratur dari segi nota kuliah, jadual, bayaran yuran, tutorial dan juga peperiksaan.Dengan menemui kriteria yang dinyatakan diatas, pembelajaran yang lebih efektif dan interaktif dapat dilaksanakan.

Di antara contoh-contoh kelas maya yang terdapat di Amerika Syarikat ialah seperti California State University yang menawarkan program sijil perguaman kepada pemohon-pemohon yang berkelulusa ijazah dan lulus dalam Carlifonia Basic Education Skills Test (CBEST). Program ini amat berguna bagi mereka yang ingin belajar dalam kadar yang segera. Program yang dipersajikan secara maya ini direkabentuk betul-betul seperti didalam bilik kuliah dimana pelajar-pelajar boleh berinteraksi dengan rakan-rakan yang lain serta profesor mereka melalui laman web.

Pada setiap hari Sabtu pula, pelajar-pelajar akan menghadiri seminar secara maya.Bagi Universiti Of Nebraska pula, e-learning melalui web lebih bersifat komersial dimana pelajar boleh memilih mana-mana kursus yang disukai untuk melengkapkan pengajiannya diperingkat sekolah tinggi ataupun diploma.

Perkembangan e-learning dinegara kita agak membanggakan kerana terdapat organisasi-organisasi besar yang tidak mementingkan komersial sebaliknya lebih menekankan kepada penyebaran ilmu pengetahuan terutamanya dikalangan pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah.

E-learning tidak hanya mencakupi pembelajaran jarak jauh secara maya malahan melibatkan 'Web Portal'. Kelebihan web portal, pendidikan ini ialah ia mempunyai bank-bank ujian, pelan pengajaran, bilik darjah maya, bahan-bahan pengajaran untuk guru, ujian untuk pelajar, dan direktori laman-laman web yang berkaitan dengan tujuan pembelajaran serta maklumat-maklumat yang berguna seperti maklumat-maklumat sekolah, kelender tahunan, aktiviti pendidikan dan sebagainya. Antara organisasi yang melibatkan diri dalam menjayakan penubuhan web portal ini ialah seperti MIMOS Berhad melalui laman webnya, www.cikgu.net.my dan juga Kumpulan Utusan yang melancarkan laman webnya, www.tutor.com.my baru-baru ini.

Cikgu.Net

Cikgu.Net (disebut Cikgu dot Net) merupakan portal pendidikan yang pertama sekali dilancarkan dinegara kita pada bulan Mac 2000. Dengan isi kandungan yang berbahasa Melayu, ia berjaya menarik ribuan pengguna yang mendaftar dengannya, dianggarkan sekurang-kurangnya lebih 120 ribu pengunjung telah pun melawat portal tersebut. Dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai perantaraannya, kesesuaiannya dengan iklim pendidikan tempatan serta aktiviti kokurikulum dapat diselaraskan.

Dengan disokong kuat oleh Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Pearson Education Malaysia, DBP serta beberapa lagi organisasi besar, sumbangan Cikgu Net terhadap pendidikan negara sememangnya tidak dapat disangkalkan lagi. Begitu juga dengan Portal Pendidikan Utusan yang mendapat sambutan hangat ketika mula-mula dilancarkan.

Secara amnya, pembelajaran jarak jauh secara maya lebih popular dinegara kita terutamanay bagi kolej-kolej dan syarikat-syarikat swasta yang menjalankan usahasama dengan universiti luar negeri dengan menawarkan program ijazah sarjana muda dan lepasan ijazah.

Antaranya ialah seperti Hartford Management Centre Sdn Bhd menawarkan program peringkat sarjana dengan usahasama University Of Newcastle, Australia, TL Management Centre Sdn Bhd yang menawarkan program ijazah sarjana muda pentadbiran perniagaan usahasama Preston University, Amerika Syarikat dan banyak lagi. Universiti maya tunggal tempatan yang menawarkan pembelajaran secara maya sepenuhnya ialah Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR). Sektor swasta dilihat sebagai lebih mengeksplorisasi penggunaan e-learning.

Platform

Bagi syarikat-syarikat antarabangsa, e-learning dijadikan platform untuk meningkatkan pengetahuan serta skil kakitangannya. IBM Corporation misalnya, menggunakan 25% daripada latihan dalamannya lebih berbentuk jarak jauh secara maya. Latihan secara maya ini merangkumi 135,000 kakitangannya diseluruh dunia. Dan pada tahun 1999, IBM Corperation telah berjaya menjimatkan kos latihan sebanyak RM760 juta (USD 200 juta). Dengan kaedah ini juga, pertukaran teknologi dan pengetahuan dapat dilakukan secara mudah dan pantas.

Mengikut laporan International Data Corporation (IDC), pada ketika ini 87% daripada kaedah latihan disektor swasta adalah secara tradisional iaitu pengajar bersemuka dengan pelajar secara berhadapan didunia nyata tetapi dengan kehadiran konsep e-learning, statistik latihan tradisional dijangka merosot kepada 74% pada tahun 2004 bagi kawasan Asia Pasifik. Menurut IDC lagi, pertumbuhan e-learning dijangka meningkat sehingga 94% diantara tahun 1999 sehingga 2004.

Namun sejauh mana keberkesanan kaedah e-learning, belum dapat ditentukan dan kajian keatasnya masih lagi dilakukan. Konsep e-learning dinegara kita masih lagi diperingakat permulaan dan memerlukan banyak pengkajian keatasnya bagi meningkatkan lagi kebolehcapaian serta keberkesanannya kepada kumpulan sasaran samaada pelajar, kakitangan syarikat mahupun pengguna-pengguna Internet dari seluruh dunia. Berdasarkan tanggapan pengurus jualan e-business IBM Corporation kawasan Asia Pasifik, Heah Kheng Lye bahawa yang menjadi penghalang kepada kemajuan e-learning bukanlah teknologinya tetapi sumber manusia, ada benarnya.

Pendekatan yang betul perlu diterapkan bagi memastikan kejayaan e-learning. Peralihan atau anjakan teknologi perlu diseimbangkan dengan peralihan pemikiran yang lebih positif. Yang lebih penting tenaga-tenaga pengajar, amnya diuniversiti mestilah bersikap positif dengan konsep ini serta menggalakkan para pelajar menggunakan kaedah ini. Seharusnya dengan adanya konsep ini, tenaga-tenaga pengajar dapat mengeksploitasinya sebaik mungkin bukannya dengan mencemburuinya.

Celik IT

Dengan disokong oleh kecanggihan sistem rangkaian seperti Internet dan Intranet serta teknologi digital, konsep e-learning seperti web portal, dan on-line jarak jauh seharusnya dimanfaatkan secara bersungguh-sungguh oleh semua pihak. Adalah diharapkan dengan adanya konsep e-learning ini, mutu pendidikan negara akan meningkat dan juga produktiviti bagi sesebuah organisasi akan bertambah baik menerusi latihan dalaman seperti IBM Corporation.

Secara tidak langsung visi negara dalam usaha menambahkan kadar celik IT sedikit sebanyak akan berjaya dalam tempoh terdekat ini. Kaedah e-learning ini seharusnya diperkenalkan secara lebih meluas bermula dari peringkat sekolah rendah bagi memupuk pelajar khasnya kanak-kanak mencintai ilmu pengetahuan disamping merangsang minat mereka untuk belajar.

Sumber Maklumat: Majalah PC

Lima tips bagaimana untuk membangkitkan rasa percaya kepada diri sendiri

3 comments

Punca mengapa ada sesetengah orang tidak ada keyakinan adalah kerana mereka kurang percaya pada kebolehan diri. Mereka teragak-agak, sangsi dan takut-takut. Perasaan ini timbul dalam apa saja perkara yang mereka lakukan, khususnya ketika melakukan perkara-perkara baru.

Apabila anda rasa kurang yakin, anda akan tiba-tiba merasa takut, bingung, keliru. Anda bagaikan tak tahu nak buat mana satu dan tidak tahu dari mana nak bermula dulu. Masalah ni perlu diatasi. Jika tidak, motivasi anda akan luntur dan anda hilang pedoman untuk meneruskan hidup.

Bagaimana nak membangkitkan rasa percaya pada diri?

Ini caranya:

1. Gali kekuatan-kekuatan diri anda, kemahiran-kemahiran anda yang anda rasa anda boleh buat dengan cukup baik.

Tonjolkan. Biar orang sekeliling tahu supaya mereka menghargai kelebihan Anda, lantas membangkitkan rasa yakin dalam diri Anda.

2. Ingat kejayaan-kejayaan kecil yang pernah anda capai, sebab ia membantu anda merasa yakin.

Anda pernah mencapai kejayaan kecil di masa lalu atau di suatu ketika dulu, jadi berkemungkinan Anda boleh berjaya lagi di masa kini dan di masa hadapan. Rasa gembira setelah mencapai kejayaan-kejayaan tu membuat Anda merasa yakin.

3. Hargai bakat, kebolehan serta kelebihan-kelebihan orang lain.

Jauhi sikap mencemuh kelebihan mereka atau bersangka buruk pada kelebihan mereka. Hargai dan kagumi kerana dengan mengagumi, anda akan bersemangat untuk memperbaiki bakat anda sendiri. Berkawan dengan mereka, elakkan persaingan yang tidak sihat. Untuk menang, anda perlu berkawan dengan musuh sendiri.

4. Banyakkan bersukan, banyakkan meggerakkan otot-otot badan, banyakkan aktiviti mental.

Bersukan melancarkan pergerakan darah. Aktiviti mental membuat minda anda tajam serta dipenuhi banyak aliran idea. Gabungan kedua-dua kesan dari aktiviti ni menimbulkan rasa yakin diri yang akhirnya membuat Anda berani, optimis serta bebas dari sikap teragak-agak. Anda tahu apa yang perlu dilakukan.

5. Selalu bertenang.

Terdesak , kelam kabut atau stress bagaimanapun, jadilah orang yang memilih untuk bertenang. Dari ketenangan tu, muncul rasa yakin diri. Lagipun, bila anda bertenang selalu semuanya akan terjadi secara teratur, idak le berterabur.

Penyakit utama orang yang ada keyakinan diri adalah riak dan suka merendah-rendahkan orang. Hati-hati dengan dua ‘penyakit’ dalaman ni kerana ia biasanya berlaku tanpa kita sedari.

*Contoh aktiviti mental:

1. Membaca.
2. Bermain teka silang kata.
3. Bermain permainan Scrabble.
4. Membayangkan sesuatu, mengimajinasikan sesuatu.
5. Melakar cerita, mengarang sebuah kisah.
6. Bermain games, hingga mampu mengalahkan games tu sendiri.
7. Berfikir bagaimana untuk menyelesaikan sesuatu masalah.
8. Banyak menulis artikel.
9. Berbincang tentang sesuatu idea baru.

Dipetik dari: http://www.imotivasi.com/motivasi-diri/motivasi-diri-5-tips-bagaimana-untuk-membangkitkan-rasa-percaya-pada-diri.html

LNPT & APC

0 comments
Setiap tahun ada sahaja isu yang dikaitkan dengan Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) dan Augerah Perkhidmatan Cemerlang (APC).
Memang kita tidak boleh memuaskan hati semua orang, namun sebagai Pegawai Penilai Pertama dan Pegawai Penilai Kedua kita mesti bersikap seadil-adilnya dan mengambil kira pelbagai faktor supaya markah yang kita berikan benar-benar tepat dan wajar dengan sumbangan individu tersebut untuk tahun semasa.
Selain kriteria yang diberikan dalam borang LNPT tersebut, jangan sesiapa di kalangan yang menjadi pegawai penilai menambah kriteria lain yang tidak wujud menurut sesuka hati seperti 1)memberi pertimbangan di luar tahun semasa,
2)berasaskan hubungan intim orang itu dengan majikan dan
3)kerana ingin mengambil hatinya.
Selain itu, pihak yang memberikan markah mestilah berhati-hati semasa memberi markah supaya tiada berlaku kesilapan sehingga menganiaya individu-individu tertentu.
Pastikan markah yang diberi dalam borang LNPT itu sama dengan markah yang diberi dalam komputer.
Komputer yang digunakan untuk mengisi jumlah markah tidak boleh, sama ada secara sengaja atau tidak sengaja terdedah kepada individu-individu yang tidak berkaitan sehingga memungkinkan ada peluang untuk melakukan pindaan dan pengubahsuaian markah yang telah pun diputuskan lebih awal.
Sebab itu adalah lebih tepat jika markah itu diisi oleh pengetua menggunakan komputer peribadi atau komputer yang dikhaskan kepada pengetua sahaja.
Itu yang berkaitan dengan LNPT, bagaimana pula halnya dengan APC.
Calon Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebenarnya dipilih daripada mereka yang telah mendapat markah tahap cemerlang dalam LNPT iaitu 80% ke atas.
Maknanya sesiapa sahaja yang mendapat 80% dan ke atas berhak dipertimbangkan oleh majikan untuk mendapat anugerah tahunan itu.
Memandangkan APC merupakan anugerah tahunan semasa, tidak mustahil seorang individu akan mendapat dua kali atau lebih anugerah tersebut jika dia dapat mengekalkan prestasinya. Walau bagaimanapun adalah perlu bagi seseorang pengetua mengurus tadbir APC ini sebaik-baiknya agar ia boleh digunakan untuk merangsang budaya kerja dengan ikhlas oleh para guru dan kakitangan sekolah.
Kita tidak mahu kesilapan urus tadbir APC akan menyebabkan berlaku sebaliknya iaitu melunturkan semangat kerja dan membunuh motivasi seseorang.
Satu perkara yang perlu diberi perhatian tentang APC ini ialah seseorang yang mendapat markah yang tertinggi tidak semestinya akan mendapat APC.
Pengetua berhak untuk memilih daripada mereka yang mendapat markah tertinggi tadi untuk dicalonkan sebagai penerima anugerah.
Katakanlah A mendapat 98% dan B pula mendapat 87%.
Oleh kerana A sudah mendapat anugerah tersebut, dan B pula merupakan seorang kakitangan yang bermotivasi dan dedikasi, maka pengetua berhak mencalonkan B untuk menerima anugerah tersebut sekalipun markahnya kurang daripada A.
APC sebenarnya adalah alat untuk menggalakkan persaingan secara sihat antara guru dan cara untuk meningkatkan motivasi mereka dan pengetua diberi kuasa seluas-luasnya untuk mengurus APC demi kemajuan sekolah untuk jangka panjang.

Sumber: http://gurubashid.com

Kepentingan ICT Kepada Pengurus Sekolah

1 comments
TEKNOLOGI maklumat dan komunikasi (ICT) sememangnya dapat membantu pengurus pendidikan dalam membuat keputusan, menyesuaikan diri dengan perubahan dan selanjutnya dapat meningkatkan komunikasi dalam organisasinya. Pengurus sekolah tidak dapat memisahkan dirinya daripada membuat keputusan pada setiap hari kerana ini merupakan elemen penting dalam mentadbir dan mengurus sekolah.
Hakikatnya ICT sangat membantu dan menolong mereka (pengurus sekolah) untuk berfungsi dengan lebih cekap, berkesan, mudah, cepat dan membuat keputusan yang baik yang melibatkan maklumat, proses dan kerja seperti pendaftaran pelajar, pelbagai rekod, kawalan inventori, jadual waktu, opsyen guru, bilangan waktu mengajar, hal yang berkaitan peperiksaan, pembelian stok dan sebagainya. Ini bersesuaian dengan pendapat Laudon dan Laudon ( 1997 ) yang menyatakan sistem maklumat dan komunikasi adalah komponen-komponen yang bersepadu yang mengumpul dan menyimpan maklumat bagi membantu organisasi membuat keputusan, merancang, mengawal dan menganalisis.
Secara umum ICT dapat menukarkan data-data mentah yang tidak memberi makna kepada maklumat yang tersusun dan berguna apabila ianya diproses, disimpan dan boleh dikemaskinikan dengan mudah dan cepat dengan menggunakan pelbagai perisian komputer yang ada. Maklumat-maklumat yang telah diproses ini sudah tentu dapat membantu pengurus sekolah membuat keputusan-keputusan yang tepat dan berguna dalam perancangan, pemantauan dan kawalan.
Sebagai contoh dengan menggunakan sistem maklumat berasaskan komputer, maklumat mengenai pencapaian pelajar dalam peperiksaan disimpan, diproses dan dianalisis dalam bentuk graf, carta pai, carta bar, senarai dan jadual-jadual statistik yang mudah membantu pentadbiran sekolah mengesan kekuatan dan kelemahan yang ada dan seterusnya memudahkan mereka membuat perancangan dan program susulan yang sesuai dan dengan sendirinya keputusan yang diambil nanti relevan dengan isu dan masalah yang berbangkit. Maklumat berkaitan pelajar tidak hanya terhad kepada peperiksaan semata-mata kerana mereka merupakan komuniti utama dalam sesebuah sekolah. Maklumat berkaitan pelajar termasuklah maklumat peribadi, pencapaian akademik, penglibatan kokurikulum, disiplin, sahsiah, buku teks, biasiswa dan sebagainya boleh diakses dengan mudah dan cepat untuk kegunaan pengurusan sekolah dengan bantuan teknologi ICT.
Dulu maklumat yang disimpan di dalam fail kurang membantu dan dimanfaatkan kerana sukar dicapai. Tetapi kini dengan bantuan ICT, pengurusan sekolah dapat bekerjasama, berurusan dan membantu pihak luar seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Polis, Mahkamah dan pihak-pihak tertentu dengan lebih mudah dan cepat apabila maklumat sentiasa dapat dikemaskinikan.
Pengetua sebagai pengurus sekolah perlu membuat keputusan yang adil, bijak dan menyenangkan staf dan guru-guru sekolah. Umpamanya dalam menentukan prestasi, kecemerlangan, dan peluang-peluang kenaikan pangkat, suatu rekod dan maklumat yang lengkap dan kemaskini amatlah diperlukan supaya keputusan penilaian itu tepat dan tidak diragui. Rekod-rekod sumbangan, penglibatan dan penghargaan yang diterima dan tindakan proaktif yang positif boleh diperoleh dengan mudah melalui sistem maklumat staf yang ada yang membantu pengurusan sekolah membuat keputusan yang tidak membuta tuli.
Selain itu tugas pengurusan pejabat yang berkaitan dengan pengurusan kewangan, pengurusan stok, inventori, pembelian dan pelupusan barang memerlukan satu sistem yang memudahkan pengurusan sekolah membuat keputusan-keputusan penting. “Sistem Sokongan Keputusan” (DSS) adalah perisian komputer yang boleh menganalisis data dan dapat memudahkan pembuatan keputusan berdasarkan output yang ditunjukkan.
Reigelath (1987) berpendapat struktur sistem pendidikan semakin rendah apabila masyarakat cepat berubah dengan teknologi tinggi yang berorientasikan maklumat. Berdasarkan kenyataaan tersebut tidak dapat tidak pengurus pendidikan memainkan peranan dan tanggungjawab penting dalam menghadapi cabaran ke arah arus perubahan keseluruhan sistem pentadbiran dan pengurusan sekolah. Bermula dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran, pendekatannya harus disesuaikan dengan arus perkembangan ICT terkini. Dalam konteks ini guru bukan lagi dilihat sebagai sumber utama untuk menyampaikan maklumat tetapi lebih sebagai pemudah cara. Sebagai pengurus pendidikan sewajarnya mempastikan guru-guru mempunyai kebolehan dan kemahiran memperolehi maklumat daripada pelbagai sumber untuk tujuan pembelajaran dan pengajaran ( P & P ) dan tahu menggunakan teknologi komunikasi seperti CD Rom, cakera padat, video, komputer, komputer bimbit, dan perisian-perisian aplikasi komputer seperti e-mail, pengkalan data, pemprosesan perkataan, hamparan eletronik, internet, perisian persembahan dan lain-lainnya.
Menurut Stair dan Reynolds ( 1999 ), tujuan utama sistem maklumat dan komunikasi adalah untuk membantu organisasi mencapai matlamat-matlamatnya dengan membekalkan pengurus-pengurus dengan “insight” ke atas operasi organisasi supaya mereka dapat mengawal, mengelola dan merancang dengan lebih berkesan dan lebih cekap. Justeru itu pengurus sekolah seharusnya menyiapkan diri dengan kepakaran dan kelebihan dalam teknologi maklumat ini kerana kemampuan mereka itu akan memudahkan sekolah diurus dengan berkesan dan cemerlang dan boleh menghadapi perubahan-perubahan drastik dalam dunia pendidikan.
Kementerian Pendidikan umpamanya sebagai badan induk dunia pendidikan telah memainkan peranan penting untuk menghadapi zaman globalisasi dan dunia pendidikan tanpa sempadan dengan memasukkan kurikulum ICT dalam KBSR dan KBSM. Di samping sifat ICT itu sendiri yang membentuk suasana pembelajaran sepanjang hayat dan memberi peluang-peluang pembelajaran yang tidak ada had maka adalah menjadi suatu kewajaran kepada pengurus-pengurus pendidikan untuk menyesuaikan diri dengan segera kepada perubahan-perubahan ini.
Dalam konteks sekolah kini, kebanyakan sistem pengurusan pejabat menggunakan peralatan komputer dengan menggunakan perisian-perisian seperti MS Excel untuk kewangan sekolah, sistem sokongan keputusan (DSS) untuk membuat keputusan dan menyelesaikan masalah, sistem maklumat pengurusan (MIS) yang membolehkan capaian mudah kepada data pelajar dan staf, sistem pengautomasian pejabat (OAS) untuk meningkatkan keberkesanan dan kecekapan urusan seharian pejabat dengan menghasilkan kerja yang lebih pantas dan lebih kemaskini.
Selain itu satu aplikasi komputer dalam pengurusan skim pinjaman buku teks dibangunkan menggunakan perisian dBase IV dapat membantu pengurusan dalam proses pinjaman buku. Keadaan-keadaan ini amat menuntut pengurus sekolah supaya sama-sama bergerak seiring dengan arus perubahan tersebut supaya mereka menjadi seorang pengurus, pemimpin dan pentadbir yang berketrampilan dan berwibawa seperti mana pandangan Zarina Zakaria ( 1998 ) yang menyatakan bahawa ekspektasi pentadbir sekolah terhadap sistem-sistem maklumat dan sikap mereka terhadap penggunaan komputer memberikan impak yang besar kepada kejayaan sekolah.
Komunikasi merupakan proses penghantaran dan penerimaan mesej. Melalui komunikasi pengurusan dan pentadbiran sekolah boleh berkongsi maklumat-maklumat yang berguna untuk sebarang urusan. Bentuk komunikasi seperti surat-menyurat, memo, fax, pesanan suara dan telefon adalah menjadi kebiasaan di mana-mana.
Dalam era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), penguasaan kemahiran komunikasi yang berasaskan teknologi terkini amat penting untuk dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengurusan sekolah kerana ianya lebih memberi sumber maklumat yang boleh diakseskan secara global di samping ianya lebih cepat, lebih jelas dan menarik.
Proses-proses komunikasi boleh dikembangkan dan dipertingkatkan dengan bantuan peralatan teknologi komunikasi tersebut. Maklumat boleh diulang-ulang, boleh dihantar dalam pelbagai keadaan dan bentuk seperti gambarajah dan carta serta diikuti dengan kesan audio.
Sebagai contohnya, penggunaan e-mail berasaskan web memudahkan pengurusan sekolah menerima mesej dan maklumat daripada pihak yang berkepentingan dengan sekolah seperti Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran dan sebagainya dengan lebih lancar, jelas dan sempurna.
Di samping mendapat maklumat dengan cepat, maklumat-maklumat itu boleh merangkumi bukan sahaja teks, malahan gambar, animasi, grafik dan audio juga boleh diperoleh.
Maklumat-maklumat boleh segera diperolehi melalui penggunaan internet menerusi “File Transfer Protocol” , “World Wide Web” dan sebagainya yang dapat membantu organisasi sekolah mendapat ilmu pengetahuan yang baru dan terkini.
Hakikatnya memang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dapat meningkatkan komunikasi dalam organisasi sekolah yang mendorong untuk menjadikan sekolah sebuah organisasi pembelajaran dan mewujudkan persaingan yang sihat di kalangan warga sekolah.

Dipetik dari:http://gurubashid.com

Guru Cemerlang

0 comments
“Guru Cemerlang Ialah Guru Yang Mempunyai Pengetahuan, Kemahiran, Dan Kepakaran Yang Tinggi Dalam Mata Pelajaran Khususnya Dalam Bidang Pengajaran Dan Pembelajaran. Guru Cemerlang Juga Sentiasa Berdedikasi Dan Bermotivasi Dalam Melaksanakan Tugas Dan Tanggungjawab Yang Cemerlang Secara Berterusan.” - Buku Terma Rujukan Konsep Guru Cemerlang

Pengetua, Penolong Pengetua, Guru Besar Dan Pegawai Pendidikan.

Jawatan-jawatan Yang Dinyatakan Tadi Merupakan Antara Jawatan Yang Tertinggi Dalam Bidang Perguruan. Kenaikan Pangkat Dalam Bidang Perguruan Cenderung Untuk Menjauhkan Guru Daripada Melibatkan Diri Dalam Pengajaran Di Bilik Darjah.

Secara Tidak Langsung, Bidang Perguruan Kehilangan Guru-guru Yang Pakar Dan Berdedikasi Dalam Bidang Masing-masing Apabila Mereka Dinaikkan Pangkat.

Menyedari Hakikat Tersebut, Kenaikan Pangkat Guru Cemerlang Diperkenalkan Mulai 1993 Sebagai Peluang Kenaikan Pangkat Yang Lebih Baik Bagi Guru Gemilang Yang Tidak Meninggalkan Bilik Darjah.

  • Objektif Kenaikan Pangkat Guru Cemerlang
  • Memberi Pengiktirafan Kepada Guru Yang Cemerlang Dalam Mata Pelajaran Atau Bidang Pengkhususan Masing-masing.
  • Meningkatkan Pencapaian Kualiti Pengajaran Dan Pembelajaran (P&P).
  • Menjadikan Guru Cemerlang Role Model Kepada Guru Lain.
  • Meningkatkan Motivasi Guru.
  • Meningkatkan Kecemerlangan Sekolah Dengan Berkongsi Pengalaman Dan Kemahiran Guru Cemerlang.
  • Memperluaskan Peluang Kenaikan Pangkat Dalam Perkhidmatan Pelajaran.
  • Membolehkan Guru Dinaikkan Pangkat Tanpa Perlu Meninggalkan Tugas Mengajar Atau Bertukar Ke Jawatan Pentadbiran.
  • Menyediakan Peluang Untuk Guru Naik Pangkat Ke Gred Yang Lebih Tinggi Secara Laluan Laju (fast Track), Khas Untuk Penyandang (KUP).

Sumber: Portal Rasmi Kementerian Pelajaran Malaysia.

Klik Iklan ini